Secara umumnya Kg Dato Abu Bakar Baginda terletak di dalam Mukim Dengkil, Sepang, Selangor dan berhampiran bandar-bandar seperti Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Hal ini telah menyebabkan kampung tersebut menjadi tempat persinggahan yang agak popular. Selain itu, Kg Dato Abu Bakar Baginda juga terletak berhampiran Universiti Putra Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa Pusat Latihan.
Kampung ini adalah kampung moden kerana terdapat pelbagai kegiatan urbanisasi yang dijalankan di kampung ini. Bentuk muka buminya merupakan tanah pamah yang rata dan berbukit-bakau.
Di kampung ini, terdapat beberapa kemudahan awam yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi kesenangan para penduduk. Antaranya ialah sekolah, masjid, dewan orang ramai dan balai polis.
Kampung ini seumpama SEGITIGA EMAS kerana lokasinya yang menarik, Kampung Dato Abu Bakar Baginda ini umpama titik pertemuan diantara bandar yang sedang membangun sekitarnya seperti Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Kajang dan lain-lain lagi.
Kampung ini telah ditadbir di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dibentuk seawal 1946 yang diketuai oleh Tuan Hj. Zainuri Bin Abdullah( Allahyarham ) yang ketika itu dikenali sebagai Pak Lurah atau Tok Empat sebagai Pengerusi JKKK dan Tuan Hj. Surip Bin Kasi( Allahyarham ) sebagai setiausaha, sehinggalah Pak Lurah meninggal dunia sekitar tahun 1979 dan dipangku olehTuan Hj. Surip Bin Kasi( Allahyarham )
Pada tahun 1963, Kampung Dato Abu Bakar Baginda telah menubuhkan bilik gerakannya sendiri yang terletak di balai raya lama ( sekarang Bangunan TBK KEMAS ), melalui saat itu semua aktiviti berkaitan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan masyarakat kampung berpusat di sini. Balai raya ini bukan sahaja menjadi pusat penyebaran maklumat malah segala aktiviti kemasyarakatan juga diadakan di balai raya ini.
Namun kedudukan balai raya ini telah mendedahkan dan memberikan masyarakat kampung akan input yang berguna kepadanya dan memikirkan ketidaksuaian mengikut peredaran zaman serta pergerakan pembangunan yang sungguh pesat dipersekitaran kampung ini, maka di bawah kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum ini yang di ketuai oleh Tuan Hj. Mohammad Rusly Bin Derin telah mengorak langkah dengan mewujudkan Bilik Gerakan Khas JKKK Kampung Dato Abu Bakar Baginda. Sumbangan membina Bangunan Bilik Gerakan JKKK yang baru ini dibiayai oleh YB Dato Sharif Bin Jajang selaku Bekas Wakil Rakyat kawasan ini dan juga peruntukan dari pejabat Daerah Sepang.
Dengan terbinanya Bangunan Bilik Gerakan ini, JKKK Kg. Dato Abu Bakar Baginda telah dapat mengemaskinikan jentera pentadbirannya dengan lebih berkesan dan dapat memainkan peranannya dengan lebih efisyen serta menggerakkan segala pentadbian dengan lebih bermutu.
Selepas Pilihanraya Umum pada 2008 yang lalu, KDABB telah menyaksikan peralihan kepimpinan kepada Ketua Kampung yang baru iaitu Tuan Haji Norazhar Hd Md Rawi sehingga 2011.
Jawatan Ketua Kampung sekarang disandang oleh anak Jati Kg Dato Abu Bakar Baginda, Tok Ruzi Bin Mat Juri dan juga merangkap Pengerusi MPKKK Kg Dato Abu Bakar Baginda.
Pada asalnya kampung ini diberi nama Kg. Bt. 2 Air Hitam (Air Itam) oleh para peneroka awalnya. Penerokaan awal kampung ini berlaku seawal tahun 1920an dari kelompok orang JAWA Indonesia yang terpaksa melarikan diri dari Penjajahan Belanda di Indonesia . Sementara itu ada sebahagian darinya adalah Buruh Paksa Jepun yang melarikan diri dari kawalan tentera Jepun yang menaiki kereta api menuju ke Thailand. Tentera Jepun adalah tentera yang tidak berperikemanusiaan dimana ada sesetengah sejarah menceritakan yang mereka sangat suka mendera dan memerah keringat penduduk jajahannya.
Kebanyakan daripada peneroka awalan ini bekerja di ladang-ladang ( Estet ) getah milik penjajah British yang ada ketika itu seperti Ladang Prang Besar, Sedegly dan West Country, yang mana sekarang ini semua ladang-ladang ini telah menjadi Bandar Putrajaya. Mereka bekerja di sebelah pagi dan sebelah petangnya mereka meneroka dan mengerjakan tanah-tanah kerajaan yang masih kosong yang berhampiran dengan ladang-ladang tersebut. Peneroka awalan ini menamakan Kampung mereka ini Kampung Air Hitam (Air Itam) kerana di kampung terdapat sebatang sungai yang merintangi tengah-tengah kampung ini dan airnya pula bewarna agak kehitaman. Oleh itu mereka menamakan kampung ini sebagai Kampung Air Hitam.(Air Itam). Persempadanan tanah pula diukur melalui persetujuan bersama peneroka pada masa itu dengan melabelkan antara pokok ke pokok sebagai tanda sempadan tanah masing-masing.
Keadaan ini berlanjutan sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan. Sekitar tahun 1960an kampung ini berubah wajah apabila kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan kerajaan Barisan Nasoinal yang diketuai oleh YAB Dato Menteri Besar pertama selepas merdeka iaitu YAB Dato' Abu Bakar Baginda telah mengurniakan sebidang tanah seluas 30 ekar sebagai mengenang jasa penduduk Kg. Air Hitam kerana memberi sokongan padu kepada parti pemerintah ketika itu.
Di atas rasa kesyukuran penduduk kampung ini, Sekitar tahun 1965, Pihak Pemerintah ketika itu telah mengadakan satu majlis besar-besaran bersama pemimpin yang dihadiri oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu YAB Dato Abu Bakar Baginda dan pada majlis itulah YAB Dato Menteri Besar melancarkan dan seterusnya merasmikan nama baru ini kepada nama Kampung Dato Abu Bakar Baginda iaitu mengambil sempena nama YAB Menteri Besar Selangor pertama selepas merdeka. Nama baru ini telah digesetkan oleh pihak berkuasa tanah daerah sepang dan sinonimlah sehingga kini.